Awal pagi lagi aku dah terjaga. Lantas aku bangun dan duduk di hadapan meja solek. Dengan mata yang bengkak dan rambut kusut-masai. Teruknya rupa aku... Aku tak boleh macam ni, aku kena move on... Mulai dari hari ini aku nekad untuk melupakan sejarah silam aku. Aku harus bersemangat untuk hidup! Kau pasti boleh Nia! Eh, silap, kau pasti boleh Adenin! Seusai mandi, aku bersiap-siap. Aku memilih untuk bergaya ringkas blouse putih berlengan pendek dan jeans hitam. Rambut aku biarkan terurai. Ketika aku berkira-kira untuk beredar, aku terlihat nota kecil berwarna ungu yang diterima semalam. Nota semalam... Siapakah pengirimnya? Aku membelek nota tersebut dan kemudian ku masukkan ke dalam kocek seluar.
Cuaca hari ini sangat terik namun pepohon yang rimbun di persekitaran sedikit sebanyak menyelamatkan kulit aku dari terkena selaran matahari. Aku berjalan ke arah perhentian bus yang terletak tidak jauh dari motel yang aku duduki. Jalan raya agak lengang. Aku menanti kedatangan bas dengan penuh sabar. Setelah hampir sejam menunggu, masih lagi tidak ada tanda-tanda bas akan lalu. Sayup-sayup kedengaran bunyi siulan datang dari arah belakang. Aku menoleh.
Seorang lelaki berkulit sawo matang tengah bersiul sambil berjalan riang menuju ke arahku. Dia pun nak tunggu bas ke? Tekaanku betul. Lelaki itu duduk di sebelahku dan dia kemudian leka bermain-main dengan telefon bimbitnya. Rambutnya didandan kemas. Walaupun berkaca mata hitam tapi aku dapat mengagak mukanya agak garang dan masam. Tangan kanannya berbalut, cedera barangkali. Apabila dia menyedari aku memandangnya sedari tadi, dia mengangkat keningnya sebelah. "Apa hal pandang-pandang?", dia berkata dengan nada sinis. Aku hanya tersenyum pahit. Berlagak! Hatiku memprotes tidak puas hati.
Tidak beberapa lama kemudian, dari jauh kelihatan sebuah teksi sedang menghampiri kami. Aku berdiri dan mengangkat tangan untuk menahan teksi tersebut. Lega. Akhirnya aku dapat meninggalkan tempat ini. Tidak ada bas, naik teksi pun jadilah. Teksi tersebut berhenti di hadapan kami. Aku ingin membuka pintu teksi tersebut dan lelaki tadi pun ingin berbuat benda yang sama. "Excuse me, saya yang tahan teksi ni dulu!", aku berkata dengan tegas. "Saya pun tahan teksi ni juga. Tapi saya tak angkat tangan sebab tangan saya cedera", lelaki itu menjawab sambil menuding jari ke arah tangan kanannya yang berbalut. Hatiku mula panas. "Saya perempuan, awak patut bagi saya naik dulu!", aku cuba untuk menolak lelaki itu ke tepi. "Eh!, saya kurang upaya, awak yang patut bagi saya naik dulu!", lelaki tersebut menghalang aku dari membuka pintu. "Eh, apa masalah awak ni? Saya dah tunggu dekat sini hampir sejam, jadi sayalah yang naik dulu!", aku menarik pintu teksi dengan sekuat hati sehinggakan lelaki tersebut terundur ke belakang. "Pak cik, saya nak ke Serdang", aku berkata kepada pemandu teksi tersebut. Tiba-tiba lelaki tadi pun masuk ke dalam kereta dan membuat kanaku terperosok ke dalam. "Saya nak ke Sungai Besi pak cik", kata lelaki tersebut dengan selamba. "Dey, kamu dua orang, tak payah gaduh-gaduh, Serdang dengan Sungai Besi satu jalan saja! Cit!", pemandu teksi menjerit marah kepada kami berdua. Dia bertindak demikian mungkin kerana tidak tahan melihat kami bertegang leher. "Awak setuju tak naik sama-sama?", lelaki tersebut bertanya sambil membuka kaca mata hitamnya. Dia memandangku sambil tersenyum sinis. Aku menjeling tajam lalu mengangguk tanda setuju. Macamlah aku ada pilihan lain?
Nota: Salah satu lagu all time favourite saya adalah lagu berjudul 'I Love How You Love Me' nyanyian Maureen Evans. Bayangkan di waktu malam dengan hanya berbekal lampu tidur kuning, memang cun kalau layan lagu ni dengan sound full blast pastu ulang lagu ni sampailah room mate ko marah. Nak fefeling romantik punya pasal kan... Haha...
Comments
Post a Comment